Misi Kemanusiaan : Trip Kemanusiaan Insani – Chad

Membawa Harapan, Menyantuni Umat di Bumi Sahel

Lokasi :  Ndjamena, Chad Afrika Tengah
Tarikh Misi : 7 Februari 2026 – 16 Februari 2026
Anjuran : Pertubuhan Insaf Insaniah Sejagat

Tujuan Misi

Misi Kemanusiaan Insani, Chad merupakan misi strategik Insaf Insani untuk menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mereka di Chad, bantuan ini merupakan suatu keperluan memandangkan Chad merupakan diantara negara yang paling terkesan akibat krisis kemanusiaan yang berlaku sekarang ini di Sudan. Selain mendepani kemiskinan tegar dan kemarau berpanjangan, Chad kini menjadi tumpuan limpahan pelarian dari Sudan akibat konflik yang belum berkesudahan. Situasi mendesak ini menuntut perhatian dunia dan tindakan segera bagi meringankan beban mereka yang terhimpit.

Selain itu, misi ini turut memfokuskan kepada penyaluran bantuan pek makanan panas, kotak makanan asas, edaran mushaf al-Quran, pemasangan lampu solar, pemberian bantuan baju raya dan bantuan bulanan bagi anak yatim, peralatan persekolahan seperti meja dan kerusi kepada pelajar tahfiz dan masyarakat setempat dan yang memerlukan di sana.

Lawatan ini membawa tiga matlamat utama

  1. Penyampaian bantuan kecemasan asas dengan menyalurkan bantuan keperluan hidup secara terus (tangan ke tangan) kepada saudara Muslim yang memerlukan bagi meringankan beban harian mereka.
  2. Memantau secara dekat keadaan semasa di kem-kem pelarian yang menempatkan rakyat Sudan di Chad bagi memahami cabaran sebenar yang mereka hadapi.
  3. Menilai keperluan mendesak komuniti setempat bagi merangka pelan tindakan dan projek bantuan jangka panjang yang lebih efektif serta mampan.

Bantuan yang Disampaikan

Bantuan Pelarian Sudan (Sempadan Chad) :

Keutamaan diberikan kepada saudara kita dari Sudan yang terpaksa melarikan diri ke kem-kem pelarian di Chad akibat konflik berdarah yang melanda negara mereka.

  • Pek Makanan Panas : 200 pek telah diedarkan untuk keperluan segera.
  • Kotak Makanan Asas : 100 kotak (stok makanan kering) bagi kelangsungan hidup harian.

Selain bantuan kecemasan, perhatian turut diberikan kepada pembangunan modal insan melalui institusi pendidikan agama di ibu kota.

  • Agihan 200 pek makanan panas telah diagihkan kepada pelajar-pelajar madrasah di sekitar bandar N’Djamena.

Bantuan Pendidikan & Komuniti di N’Djamena :

Agihan Set Meja & Kerusi Madrasah

  • Realiti Lapangan : Di Chad, sebahagian besar pelajar terpaksa belajar di atas lantai dalam keadaan bangunan yang sangat daif. Kekurangan ruang belajar dan ketiadaan kemudahan asas merupakan cabaran utama yang menghimpit institusi pendidikan di sana.
  • Agihan : Sebanyak 20 set meja dan kerusi telah diserahkan kepada madrasah-madrasah yang memerlukan.

Agihan Mushaf Al-Quran

  • Latar Belakang : Sebelum ini, ramai pelajar terpaksa berkongsi satu naskhah al-Quran dalam kumpulan yang besar. Malah, ada yang masih cekal menghafal kalamullah menggunakan Lawh (papan kayu) akibat ketiadaan naskhah fizikal.
  • Agihan : Sebanyak 350 naskhah Mushaf al-Quran telah diedarkan kepada pelajar Madrasah ar Ridwan di N’Djamena, Chad.

Bantuan Kebajikan Anak Yatim :

Bantuan Perbelanjaan Sebulan (Saraan Asas)

  • Tujuan : Bantuan tunai ini disalurkan secara berkala untuk menampung kos keperluan asas sekolah serta perbelanjaan harian.
  • Sasaran : Seramai 50 orang anak yatim telah dipilih sebagai penerima manfaat.
  • Impak : Inisiatif ini bertujuan meringankan beban penjaga dan memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak ini agar mereka mempunyai peluang masa depan yang lebih cerah.

Bingkisan Syawal : Set Lengkap Pakaian Raya

  • Sasaran : Seramai 100 orang anak yatim (50 lelaki dan 50 perempuan) telah menerima sumbangan ini.
  • Kelengkapan : Setiap anak yatim menerima satu set lengkap pakaian baharu yang merangkumi baju raya, seluar, dan kasut serta tudung bagi anak yatim perempuan.

Projek Lawatan & Ziarah : Meninjau Daifnya Rumah Allah & Madrasah di Chad

Ziarah Masjid : Solat dalam Kegelapan

  • Liputan : Ziarah ke 4 buah masjid di sekitar N’Djamena.
  • Keadaan Fizikal : Sebahagian masjid langsung tidak mempunyai sistem elektrik, memaksa jemaah bersolat dalam kegelapan pada waktu malam.
  • Struktur Daif : Terdapat masjid yang hanya beratapkan pelepah daun tanpa dinding yang sempurna, mendedahkan jemaah kepada cuaca dan debu.

Jejak Madrasah & Sumbangan Al-Quran

  • Liputan : Lawatan ke 4 buah madrasah yang memerlukan bantuan kritikal dari segi kos operasi dan pembinaan semula bangunan.
  • Sebagai sokongan awal, beberapa ratus naskhah Mushaf al-Quran telah diedarkan kepada pelajar tahfiz bagi menggantikan naskhah yang lama dan tidak mencukupi.

Pemerhatian & Harapan Masa Depan

Di sebalik kedaifan bumi Chad, kami menyaksikan sendiri wajah-wajah keletihan yang kembali bersinar dengan cahaya harapan. Setiap detik di sana daripada anak-anak kecil yang memeluk erat naskhah Al-Quran, hinggalah para bapa yang menitiskan air mata kesyukuran melihat anak-anak mereka disantuni menjadi saksi bisu betapa krtikalnya usaha kemanusiaan ini diteruskan.

Penutup

Di sebalik padang pasir yang panas, rumah-rumah yang usang, dan makanan yang tidak pasti, kami bertemu dengan iman yang tidak pernah layu. Walaupun mereka tiada harta, mereka masih punya harapan. Dan selagi ada yang peduli, bumi ini masih punya peluang untuk berubah.

Semoga Allah membalas segala kebaikan yang telah dicurahkan oleh semua yang terlibat. Dan semoga langkah kecil kita di bumi Afrika ini menjadi saksi besar di hadapan Allah kelak.

Ameen.


Share:

Continue the Journey Through Our Blog

Stay updated on our latest updates, ideas, and efforts as we create meaningful impact for a better future.

Laporan Pembinaan Mesin Penyahgaraman Air Telaga – Semporna Sabah

Telaga Air Sabah : Alirkan Kebaikan, Abadikan Jariah Lokasi : Kampung Limau-limau, Pulau Bait Semporna

Laporan Pembinaan Kompleks Masjid Insaniah Niger

Satu Kompleks, Seribu Harapan : Air, Ilmu, dan Ibadah Tarikh siap pembinaan Desa Insaniah Niger

Laporan Tahunan Projek 2025

“Menelusuri Jejak Insaniah di Bumi Afrika“ Pertubuhan Insaf Insaniah Sejagat (PPM-002-10-26122023) ditubuhkan pada 27 Disember

©2026. All Rights Reserved

Bring back sanity to humanity. Building a civilization founded on Insaniah ideals and values.

Start a Conversation

+60166060203

Our Location

Pertubuhan Insaf Insaniah Sejagat
23-1, Jalan Medan Pusat Bandar 4, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Scroll to Top

Bringing back sanity towards humanity through the thoughts and activities of an ideal civilization.

Reach us

You can find us at

Get in touch with us