Membawa Harapan, Menyantuni Umat di Bumi Sahel
Lokasi : Bamako, Mali, Afrika Barat
Tarikh Misi : September 2025 – 3 Oktober 2025
Anjuran : Pertubuhan Insaf Insani Sejagat
Tujuan Misi
Misi Ziarah Bumi Sahel 2.0 bertujuan menyalurkan bantuan makanan asas dan air bersih kepada komuniti terkesan, di samping meninjau serta menilai keberkesanan projek-projek Insaf Insani yang telah siap dibina di Mali. Misi ini dilaksanakan memandangkan Mali merupakan antara negara termiskin di dunia yang berdepan konflik berpanjangan, kemarau, dan kemiskinan berterusan.
Selain itu, misi ini turut memfokuskan kepada penyaluran bantuan makanan, edaran mushaf Al-Quran, peralatan persekolahan, serta agihan daging kepada masyarakat setempat yang memerlukan.
Lawatan ini membawa tiga matlamat utama :
- Meninjau projek-projek Insaf Insani yang telah siap dibina di sana bagi memastikan keberkesanannya.
- Menyampaikan bantuan secara langsung kepada saudara-saudara Muslim kita.
- Menilai keperluan komuniti untuk perancangan projek masa hadapan.
Bantuan yang Disampaikan
Bantuan Kesihatan :
- Realiti lapangan : hanya 20 minit dari bandar Seigo, terdapat sebuah perkampungan Muslim bernama Uweseburu yang didiami 2,000 jiwa. Namun, kehidupan mereka uzur tanpa air bersih dan fasiliti kesihatan yang sempurna. Akibatnya, penduduk sering menjadi mangsa serangan penyakit malaria, cirit-birit, dan keracunan makanan yang boleh meragut nyawa jika dibiarkan tanpa bantuan segera.
- Bantuan : Seramai 50 orang yang terdiri dari ibu mengandung dan kanak-kanak mendapat bantuan ubat ubatan untuk penyakit malaria, cirit-birit, dan keracunan makanan.
Bantuan Pendidikan :
- Bamako, Mali: Sebanyak 25 set meja dan kerusi serta 5 buah papan hitam telah berjaya diagihkan kepada sebuah madrasah yang terletak di kawasan perbukitan. Walaupun terpaksa melalui pendakian yang mencabar dan memakan masa yang lama, misi ini tetap diteruskan demi membantu madrasah yang serba daif ini. Di sebalik kekurangan ruang belajar dan ketiadaan kemudahan asas yang serius, semangat pelajar yang ramai di sini menjadi pendorong utama untuk kami melengkapkan prasarana pendidikan mereka.
Bantuan Makanan (500 Pek Makanan Panas)
- Segou, Mali : Sebanyak 150 pek makanan telah diagihkan kepada penduduk di kem pelarian yang terletak di tengah bandar Segou. Meskipun mereka merupakan warganegara Mali, golongan ini telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik dan kini menetap di kem-kem sementara.
- Misi bantuan diteruskan ke kem pelarian kedua di pinggir bandar Segou dengan agihan sebanyak 250 pek makanan panas. Kem ini menjadi tempat berteduh buat kira-kira 100 hingga 200 orang penduduk yang terdiri daripada warga Mali dan Burkina Faso. Kebanyakan daripada mereka adalah mangsa konflik bersenjata yang terpaksa melarikan diri demi mencari perlindungan dan keselamatan.
- Sejumlah 50 Pek Makanan Panas diedarkan di sebuah rumah penempatan di Segou yang menempatkan ramai keluarga yang terdiri dari lelaki dewasa, wanita dan kanak-kanak.
Bantuan Anak Yatim dengan Kerjasama (Pertubuhan Nisa’ al Khair)
- Bantuan Perbelanjaan Bulanan, diberikan kepada 20 orang anak yatim (10 lelaki dan 10 perempuan) bagi menampung keperluan asas harian.
- Bantuan Pakaian Sekolah untuk Anak Yatim, Sebanyak 20 orang anak yatim (10 lelaki dan 10 perempuan) menerima satu set lengkap pakaian sekolah sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baru. Setiap bantuan diberikan secara khusus mengikut keperluan, merangkumi baju, seluar, dan kasut; dengan tambahan tudung bagi penerima perempuan.
- Bantuan Beg Sekolah dan Alat Tulis, diberikan kepada 20 orang anak yatim (10 lelaki dan 10 perempuan) bagi membekalkan keperluan asas pembelajaran.
Lawatan & Ziarah : Tinjauan Projek Insaf Insani
Misi ini membuka ruang buat kami untuk menziarahi dan menilai keberkesanan dua projek besar yang telah berjaya dilaksanakan oleh Insaf Insani :
- Masjid Mansa Musa : Kini berfungsi sebagai nadi utama ibadah dan pusat aktiviti komuniti bagi penduduk di Kampung Kemparana, Mali.
- Telaga Insaniah Mali : Merupakan sumber air bersih yang telah memberi impak besar dan mengubah kualiti hidup ratusan penduduk setempat.
Tinjauan Keperluan Infrastruktur Baharu : Selain meninjau projek yang telah siap, kami juga akan melawat beberapa buah masjid dan madrasah di kawasan pedalaman Mali yang kini berada dalam keadaan uzur. Tinjauan ini bertujuan untuk menilai keperluan bantuan segera, sama ada melalui projek baik pulih infrastruktur atau pembinaan bangunan baharu yang lebih kondusif.
Pemerhatian & Harapan Masa Depan
Kami menyaksikan sendiri wajah-wajah keletihan yang bersinar dengan harapan. Dari anak-anak yang memeluk mushaf, hingga bapa-bapa yang menitiskan air mata melihat anak mereka dikhatankan, segalanya menjadi saksi betapa pentingnya usaha ini diteruskan. Kami pulang bukan hanya dengan cerita, tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar. Tanggungjawab untuk terus menyambung amanah ini agar Islam terus subur walau di tanah paling tandus sekalipun.
Penutup
Di sebalik padang pasir yang panas, rumah-rumah yang usang, dan makanan yang tidak pasti, kami bertemu dengan iman yang tidak pernah layu. Walaupun mereka tiada harta, mereka masih punya harapan. Dan selagi ada yang peduli, bumi ini masih punya peluang untuk berubah.
Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan yang telah dicurahkan oleh semua yang terlibat. Dan semoga langkah kecil kita di bumi Afrika ini menjadi saksi besar di hadapan Allah kelak.
Ameen.








